Lokasi kejadian seorang tentera ditembak di pagar sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu
Hitam, semalam.
Mangsa diserang ketika meronda di laluan keselamatanBukit Kayu Hitam: Seorang anggota tentera parah ditembak penyerang tidak dikenali dalam satu kejadian di kawasan laluan keselamatan bersebelahan garisan sempadan Malaysia-Thailand, di sini, awal pagi semalam.
Mangsa, Azamruddin Azizan, 26, dari Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (21 RAMD) cedera di bahagian bahu, siku kanan dan kedua-dua belah lutut selepas terkena peluru penabur dipercayai dilepaskan menggunakan senjata api dipercayai buatan sendiri.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Gua Musang, Kelantan, dikatakan sedang melakukan rondaan di kawasan laluan keselamatan berhampiran zon N9 bersama seorang lagi rakan setugas kira-kira jam 4.30 pagi, sebelum dikatakan ditembak dari arah sempadan.
Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan mengesan kejadian mencurigakan ketika melakukan rondaan menggunakan motosikal apabila terpandang lampu suluh dari kawasan semak bersebelahan sempadan kira-kira empat kilometer dari laluan utama menghala Kompleks Kastam dan Imigresen Thailand di Sadao, dekat sini, sebelum berhenti untuk meninjau.
Bagaimanapun, selepas mengesahkan keadaan terkawal, mangsa yang baru hendak berlalu ke motosikal tiba-tiba ditembak dan rebah berlumuran darah.
Mangsa kemudian dibantu rakannya dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, menggunakan kenderaan tentera untuk rawatan lanjut. Keadaannya disahkan stabil.
Azamruddin ketika ditemui mengakui langsung tidak menyedari tembakan terbabit dilepaskan sehinggalah beliau rebah dengan kesan cedera.
Nampak cahaya lampu suluh
“Saya nampak cahaya lampu suluh dihalakan ke arah saya di sebalik pagar sempadan. Tidak lama selepas meninjau kawasan itu satu letupan kedengaran sebelum saya terus terjatuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, semalam meluangkan masa lebih setengah jam meninjau kawasan laluan keselamatan terbabit terutama lokasi kejadian anggota keselamatan berkenaan ditembak.
Beliau tidak menolak kemungkinan tembakan terbabit dilepaskan penjenayah yang mungkin juga terbabit dalam kegiatan penyeludupan yang menjadikan sempadan Malaysia-Thailand sebagai laluan ‘operasi’ haram mereka.
“Kita sedar kawasan terbabit sering kali dijadikan sasaran penjeyanah terutama penyeludup untuk melakukan kegiatan haram. Namun, kejadian seperti ini sudah lama tidak berlaku, apatah lagi yang menjadikan anggota pihak berkuasa sebagai sasaran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan