Sabtu, 14 September 2013
Pablo Aimar sah milik JDT
JOHOR Darul Takzim (JDT) membuktikan kesungguhan untuk membentuk pasukan yang digeruni bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan apabila mengikat pemain Argentina, Pablo César Aimar Giordano.
Pemain yang pernah menjulang Piala Dunia B-20 FIFA 1997 bersama Argentina itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama JDT, hari ini.
Majlis menandatangani kontrak itu berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin sekitar jam 2.30 petang tadi dan disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, nilai sebenar kontrak dan gaji yang diterima oleh Aimar dirahsiakan.
Tunku Ismail berkata, bekas pemain Benfica itu menandatangani kontrak dua tahun bermain bersama pasukan dan tiga tahun membantu pembangunan bola sepak negeri.
Tambahnya, Aimar akan melibatkan diri dalam skala yang besar untuk bola sepak negeri Johor bukan sahaja sebagai pemain malah terbabit dengan aktiviti pembangunan seperti penganjuran klinik bola sepak.
"Menjadi satu penghormatan buat bola sepak negeri ini apabila Aimar bersama dengan Johor sebagai pemain dan saya yakin beliau akan melakukan yang terbaik bersama pasukan untuk musim depan.
"Saya enggan meletakkan sebarang sasaran untuk beliau, tetapi berharap pasukan akan beraksi dengan baik dan mungkin meraih kedudukan tiga terbaik dalam Liga Super selain melangkah ke separuh akhir Piala FA serta Piala Malaysia bagi musim depan," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan