Isnin, 10 Mac 2014

MH370 : Tumpuan terarah kepada 2 penumpang misteri




KUALA LUMPUR: Episod kehilangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) semalam kini tertumpu kepada dua penumpang misteri yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport palsu milik warganegara Itali dan Austria.

Ketika anggota keluarga penumpang semakin resah apabila tiada penemuan selepas lebih daripada 24 jam, misteri dua penumpang itu menimbulkan pelbagai teori yang mengaitkan mereka dengan kehilangan pesawat MH370.

Selain memfokus kepada teori pesawat terhempas, laporan media asing dilihat mengaitkan kemungkinan MH370 dirampas atau meletup di udara.

Bagaimanapun, teori pesawat itu meletup di udara mungkin ditolak setelah akhbar The New York Times, yang memetik pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) hari ini sebagai berkata data pemantauan awal yang diperiksa Pentagon mencadangkan MH370 tidak meletup di Laut China Selatan semalam berdasarkan sistem pemantauannya di seluruh dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika mengulas kemungkinan terdapat unsur ancaman pengganas, berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang kesimpulan tanpa bukti kukuh.

"Sekarang tak ada bukti kukuh, macam-macam teori melayang. Kita terpaksa mencari semua kemungkinan petunjuk dan kena siasat sebelum membuat kesimpulan kukuh," kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014 di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Azaharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya menyiasat pelbagai aspek, termasuk sama ada pesawat itu dirampas, namun tidak dapat mengesahkannya selagi MH370 belum dijumpai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dilapor hilang daripada radar kira-kira dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi menuju Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi semalam.

Sehingga kini nasib pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal, tidak diketahui.

Azaharuddin dalam sidang medianya mengesahkan dua penumpang misteri itu menaiki MH370 dan pihaknya mempunyai rakaman kamera litar tertutup sewaktu mereka mendaftar masuk ke dalam pesawat berkenaan.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan terperinci akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan KLIA.

"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya.

Mengikut laporan agensi berita CNN, dua penumpang misteri itu membeli tiket penerbangan secara bersama melalui China Southern Airlines.

CNN turut melaporkan pasport dua warganegara itu dilapor hilang beberapa tahun lepas di negara Asia Tenggara dan pihak berkuasa Itali serta Austria mengesahkan tiada rakyat mereka menaiki pesawat MH370.

Sementara itu, Pegawai Meteorologi Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia Khairul Najib Ibrahim berkata tiada sebarang perubahan cuaca ketara berhampiran perairan negara yang dilihat boleh mengancam penerbangan pesawat MH370 sewaktu ia dilaporkan hilang.

Sehingga 8.30 malam dalam sidang media terakhir untuk hari ini, Azaharuddin mengesahkan operasi mencari dan menyelamat yang menyaksikan penglibatan sejumlah 34 pesawat dan 40 kapal laut membabitkan aset negara dan luar negara, masih gagal mengesan pesawat

Sah hanya dua penumpang MH370 guna pasport palsu - Azaharuddin



SEPANG: Ketua Koordinasi, Datuk Azaharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang pesawat MH370 menggunakan pasport palsu, bukan empat seperti dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat MH370 berkemungkinan berpatah balik ke Malaysia berdasarkan signal radar TUDM selepas ia hilang.      

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, sebanyak 22 pesawat, 40 kapal digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat MH370 termasuk di Selatan Melaka.

MH370: Kerajaan China kecewa cara pengendalian kehilangan pesawat MAS



Kerajaan negara China menyampaikan rasa kecewa terhadap kerajaan Malaysia ekoran kehilangan pesawat MH370 dengan meminta mereka dibekalkan maklumat yang terkini tentang kehilangan pesawat MAS itu.
New York Times melaporkan hari ini China, negara asal majoriti penumpang pesawat itu, jelas ada tanda-tanda kemarahan dan kecewa di kalangan keluarga penumpang yang terlibat dengan cara Malaysia mengendalikan situasi ini.
Dilaporkan juga, Menteri Luar China Wang Li menyampaikan ketidaksabarannya itu dalam panggilan telefon sebagaimana yang dilaporkan dalam laman web kementerian.

"Pesawat Malaysia Airlines (MAS) hilang hampir 40 jam," katanya sebagaimana yang dipetik ketika memberitahu rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.
"Kerajaan China memandang perkara ini secara serius, dan rakyat China juga sangat bimbang."
Beliau meminta Malaysia sentiasa memberikan laporan terkini, lapor media dunia itu.
Dalam siri laporannya, pegawai Malaysia sentiasa enggan menjawab soalan yang mereka sifatkan sebagai "hal keselamatan".
"Kami akan sentiasa mengkaji protokol keselamatan, dan jika perlu kami akan perketatkannya lagi," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga berkata, beliau mempunyai nama empat penumpang yang disyaki tetapi maklumat itu adalah '"terkawal".
Sekurang-kurangnya ada lima perkara luar biasa dalam senarai penumpang pesawat Penerbangan Malaysia Boeng 777-200 ER yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi Sabtu dalam perjalanan 3,700 km ke Beijing.
Ia terputus hubungan dengan kawalan penerbangan kira-kira 1.30 am dan tidak tiba di Beijing, menyebabkan kerja mencari dan menyelamat besar-besaran digerakkan dari laut Andaman dan Selat Melaka di barat kepada Laut Cina Selatan di timur.

DCA tidak tolak kemungkinan MH370 dirampas atau meletup di udara




KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak menolak sebarang kemungkinan yang berlaku ke atas pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia yang hilang awal pagi Sabtu, termasuk kemungkinan ianya dirampas.

Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya juga memerlukan bukti yang kukuh untuk menyokong segala kemungkinan-kemungkinan tersebut.



"Pada tahap ini kami tidak menumpukan pada mana-mana kemungkinan... kita melihat pada semua sudut tentang apa yang mungkin berlaku pada pesawat tersebut," katanya pada satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Isnin.

Kata beliau, selain kemungkinan pesawat berpatah balik, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara.

Namun katanya untuk memastikan apa yang betul-betul berlaku pada pesawat Boeing 777-200 itu, pihaknya memerlukan sekurang-kurang serpihan daripada pesawat untuk kajian forensik.

"Malangnya sekali lagi kita tidak dapat menemui mana-mana bahagian pesawat ataupun untuk mengesan di mana ia berada," jelas Azharuddin.

Katanya, pihak DCA juga telah menggiatkan pencarian di Selat Melaka untuk mengesan kemungkinan pesawat berpatah balik.

Kata beliau, meskipun ia merupakan satu teori tetapi mereka tidak boleh menolak kemungkinan tersebut.

Penerbangan MH370 itu disahkan DCA sebagai hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sebelum itu, MAS dilapor berkata pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Ahad.

Operasi mencari dan menyelamat pesawat itu telah masuk hari ketiga, namun ia masih gagal dikesan. -astroawani.com


Kami perlu bukti kukuh, kata DCA




SEPANG - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menegaskan pihaknya memerlukan bukti kukuh bagi mengesahkan apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 ke Beijing yang dilaporkan hilang dari radar, Sabtu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pelbagai teori dibuat oleh pakar-pakar diseluruh dunia untuk membantu namun, DCA tetap memerlukan bukti.

"Ada banyak teori yang disebut. Oleh pakar-pakar di seluruh dunia. Kami juga masih tertanya-tanya apa yang berlaku.

"Untuk sahkan apa yang berlaku ketika itu (pesawat hilang dari radar), kami perlukan 'evidence' kukuh...sebahagian daripada pesawat itu untuk dianalisa," katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan laporan media berhubung penemuan objek oleh pihak berkuasa Vietnam.

"Laporan itu tidah disahkan. Saya hubungi pihak berkuasa Vietnam malam tadi tapi mereka sahkan tidak menemui sebarang objek," katanya.

Semalam dua pesawat di kawasan berbeza dilaporkan menemui objek yang didakwa sebagai ekor pesawat namun selepas dikenalpasti, objek itu disahkan bukan ekor pesawat.


Insiden pesawat MH370 dapat perhatian dunia




KUALA LUMPUR - Insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam mengejutkan seluruh dunia.
Sejak ia berlaku, seluruh masyarakat dunia melahirkan rasa simpati, keprihatinan dan doa mereka terhadap insiden berkenaan sama ada melalui laman sosial, blog, sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp dan lain-lain.
Menerusi laman sosial Facebook, sebuah akaun 'Missing Malaysia Airlines MAS Flight MH370' mendapat perhatian orang ramai dengan mencatatkan 265,401 'likes'.
Antara yang melahirkan rasa simpati ialah Fiona Bisonia, yang berkata: "Hati meruntun sayu bila mengenangkan para penumpang dan anak kapal. Walaupun tiada keluarga yang terlibat, tapi kita sebagai rakyat prihatin tetap merasa sedih.
Moga para penumpang dan krew MH370 dalam keadaan selamat di manapun mereka ketika ini. God bless MH370."
Sementara itu, Nicole Ganes pula berkata: "Lord, we lift up flight MH370 to You. We pray that You will shield them from every harm and danger. As there are passengers that consists of children, adults or even the elderly and it
doesn't matter what race, religion or denomination they hail from".

("Tuhan, kami menyerahkan nasib penerbangan MH370 kepada Engkau. Kami berdoa (semoga) Engkau akan melindungi mereka daripada sebarang bahaya.

Memandangkan terdapat penumpang yang terdiri daripada kanak-kanak, dewasa dan bahkan warga tua dan tanpa mengira bangsa, agama dan dari mana mereka berasal".)

Selain akaun itu, turut mendapat perhatian orang ramai ialah akaun 'Pray For MH370' yang mendapat 167,514 'likes'.

Bukan itu sahaja, di laman media sosial Twitter telah menjadi trend dan menarik ribuan ramai orang menghantar rasa keprihatinan mereka terhadap kejadian itu menerusi 'hashtags' #PrayForMH370 dan #MH370.
Tidak hanya melahirkan rasa prihatin dan doa, kebanyakan pengguna kedua-dua laman sosial itu turut berkongsi gambar berkaitan dengan tragedi berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang cuba membuat penilaian, spekulasi dan teori sendiri berhubung tragedi itu, tanpa memikirkan sensitivitinya terhadap keluarga penumpang dan kakitangan MAS yang terlibat.
Di samping itu, stesen televisyen dan radio tempatan juga turut memberi perhatian dengan memberikan liputan penuh mengenai insiden berkenaan.
Pesawat MAS MH370 membawa 227 penumpang termasuk dua kanak-kanak dan 12 anak kapal didapati hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira dua jam selepas berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - Bernama

MH370: Kawasan carian diperluas, kehilangan MH370 terus membingungkan


Tentera laut Amerika Syarikat turut bersama menyertai misi mencari dan menyelamat pesawat MH370. - Gambar Reuters.


Cuaca malam itu baik. Langit cerah diterangi cahaya bulan. Kerlipan dan cahaya lampu dari pelantar minyak dan serta bot nelayan kelihatan jelas seperti rentetan mutiara menebari seluruh perairan di timur laut Kota Bharu. Dan pesawat MH370 yang terbang pada malam itu lenyap begitu sahaja.
Untuk tiga hari berturut-turut, lebih banyak kapal dan pesawat sedang mencari kehilangan Boeing 777- 200ER yang membawa 239 penumpang sejak ia terputus hubungan dengan pengawal trafik udara pada jam 1:30 pagi Sabtu.
Tiada siapa melaporkan terdapatnya letupan di udara dan pihak berkuasa Amerika Syarikat juga mengesahkannya daripada data yang diperoleh dari satelit dan radar pengesan di kawasan itu, yang juga salah satu bahagian paling sibuk di Laut China Selatan.

The Wall Street Journal hari ini melaporkan, misteri kehilangan pesawat MH370 adalah sesuatu yang penting sehingga zon lokasi yang disyaki dengan cepat menjadi zon ketenteraan dengan kehadiran pelbagai jet pejuang, kapal perang canggih dan berharga jutaan ringgit untuk bersama-sama menyertai misi mencari dan menyelamat.
Mereka mengenepikan pemusuhan dan bekerjasama untuk mencari jet yang mempunyai penumpang dari 14 negara, majoritinya dari China.
Namun sehingga kini, tiada bukti kukuh ditemui berkenaan pesawat yang hilang tentang nasibnya atau di mana ia berada.
Tentera Laut Vietnam mendedahkan pada hari Ahad bahawa ia ternampak kemungkinan serpihan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) semasa rondaan Twin Otter, 50 batu di selatan barat daya pulau Tho Chu.

Tentera laut mengarahkan enam pesawat Twin Otter 400 DC Twin Otter 6-400 - yang boleh berlepas dan mendarat di atas air – daripada Kanada Viking Air Limited. Ia bagi meneruskan pencarian di siang hari.
Tentera lautnya menerima pesawat pertama pada akhir tahun lepas, versi terkini yang berharga C$6 juta, tidak termasuk sensor elektronik canggih, lapor sebuah akhar harian.

Ia menyertai lebih 40 kapal dan 20 pesawat lain dari China, Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura yang sedang menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Tentera laut lain kini memperluaskan pencarian sejauh laut Andaman di pantai barat Thailand dan Selat Melaka antara Malaysia dan Indonesia.
Tentera Laut Amerika Syarikat menghantar sebuah kapal pemusnah dilengkapi dua helikopter yang tiba di kawasan carian awal Ahad lalu, manakala Lockheed Martin, pesawat pengawasan Corp P -3C Orion dari Pangkalan Udara Kadena di Okinawa dijangka mula mencari pada hari Isnin.
Helikopter MH-60R dibina unit Sikorsky Aircraft dari Amerika Technologies Corp adalah berdasarkan USS Pinckney, turut dialihkan daripada latihan dan misi keselamatan maritim di perairan antarabangsa di Laut China Selatan.

MH370: Empat faktor boleh kait kehilangan pesawat Mas - Dr Ahmad Samsuri




KUALA LUMPUR: Terdapat empat faktor kemungkinan yang boleh menyebabkan sesuatu bencana berlaku terhadap mana-mana pesawat termasuk MH370, kata penganalisis penerbangan, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Antara perkara yang perlu dipertimbangkan ialah struktur kapal terbang, kegagalan enjin, sistem elektronik termasuk sistem komunikasi, selain kesilapan manusia," jelasnya dalam temubul bersama Astro Awani malam tadi.

Menurut beliau keadaan struktur pesawat dan kegagalan fungsi enjin secara mengejut juga mungkin menjadi antara penyebab pesawat tersebut gagal menghantar sebarang isyarat kecemasan kepada menara kawalan.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS itu juga berkata, sekiranya struktur utama pesawat seperti sayap dan enjin masih lagi sempurna biarpun berlaku kerosakan, ia masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan terdekat.

"Jika enjin dan struktur kapal terbang masih lagi baik, bermakna terdapat peluang untuk juruterbang berhubung dengan menara kawalan. Namun, fakta ini hanya kemungkinan kerana kita tidak mengetahui sejauh mana juruterbang berhubung atau tidak dengan pusat kawalan.

"Bagaimanapun, jika berlaku perkara-perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan boleh menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya.

Pesawat MAS ke Beijing dilapor hilang




KUALA LUMPUR - Pesawat Malaysia Airlines yang sedang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang termasuk dua bayi bersama 12 kru dilaporkan hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ini.

MAS berkata penerbangan MH370, yang dikendalikan pesawat B777-200 berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac.

Penerbangan MH370 itu dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang telah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat itu.

Syarikat penerbangan itu akan menyediakan perkembangan terkini berhubung keadaan itu.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03 7884 1234 untuk maklumat lanjut. - Bernama

Rabu, 5 Mac 2014

Ayuh selamatkan Syria!


Rakyat yang memberontak di Syria berbuat demikian demi akidah dan hak mereka.
 

PESANAN Ulama Palestin, Syeikh Raed Solah, selagi Kota Damsyik di Syria tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi Al-Aqsa akan dibebaskan.
Bantulah mereka dengan dengan apa yang termampu dan jangan lupa doakan kemenangan untuk Islam.
Itu antara ingatan yang mungkin sedikit sebanyak menyentak hati kita, bahkan dari situ sahaja dapat dilihat begitu pentingnya umat Islam menyelamatkan Syria daripada terus bermandi darah.
Pengarah Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sani Araby Al Kahery berkata, beliau sebelum ini ada menerima persoalan mengenai bantuan Mapim ke negara luar termasuk Syria dan Palestin.
“Antara menolong rumah terbakar atau menolong membaiki rumah yang rosak, mana lebih penting?
Tentulah rumah terbakar dan itulah situasi yang berlaku di Syria, Palestin dan Myanmar.
“Mapim sentiasa prihatin dengan masalah umat Islam yang sedang berlaku di luar sana dan amat mengharapkan jasa umat Islam Malaysia supaya terus memberi sokongan yang padu dan berterusan,” katanya.
Nabi doakan Syria

Riwayat Abu Daud, Nabi pernah menyebut ‘Sesungguhnya kota perlindungan) kaum Muslimin ketika berlakunya al-malhamah (perang besar) ialah di suatu lembah subur di sudut kota yang dipanggil
Dimasq (Damsyik). Dan ia adalah sebaik-baik kota di negara Syam’.
Syam terdiri daripada empat negara iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Di Syria sahaja, ada lebih 10,000 pusara sahabat Nabi. Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria ialah Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid, Muawiyah
bin Abu Sufyan, Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.
Nabi pernah menyebut dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri Yaman kami”.
Dalam hadis lain; Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah bagi penduduk Syam. Beruntunglah Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan sayapnya ke atas
ahli Syam.” (Riwayat Ahmad).
Sani berkata, beliau bersama rakan sukarelawan melihat kejadian yang berlaku sepanjang berada di Syria itu seperti berkaitan dengan apa yang dikatakan Rasulullah.
Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang apabila peperangan ini terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria.

Rakyat Malaysia prihatin

Nabi berkata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir zaman.
“Seperti di Syria, memang kelihatan seolah-olah dalam hadis Nabi katakan sudah mula ada yang terkepung, dan seolah-olah mereka yang cuba menyerang umat Islam yang tidak berdosa di Syria ini juga tahu ‘jalan cerita’ yang terdapat di dalam hadis Nabi,” katanya.
Walau apa pun yang akan berlaku, tegas Sani, ia tetap akan berlaku, namun tanggungjawab umat Islam di seluruh dunia adalah bangkit dan sedar.
Lelaki berusia 30 tahun itu juga sering mengadakan ceramah dan muncul di televisyen semata-mata untuk menyebarkan penderitaan yang sebenar berlaku di Syria.
“Semua ini dilakukan atas dasar peduli ummah, dan alhamdulillah sehingga kini rakyat di negara ini ada yang peka dan amat prihatin dengan menghulurkan pelbagai bantuan.
“Namun misi kami ke Syria akan masih diteruskan kerana pelbagai bantuan perlu diberikan kepada mereka,” katanya.
Bagi yang ingin membuat sumbangan, boleh melayari laman web www.tabungsyria.com atau terus menghubungi Sani di dalam laman Facebooknya, www. facebook.com/saniarabykahery.

dipetik dari akhbar SINAR HARIAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...