Khamis, 3 Oktober 2013

Supermoto generasi baharu


Supermoto generasi baharu

BEBERAPA minggu lalu, saya telah mengeluarkan rencana tunggang uji Ducati Hyperstrada, dan pada kali ini, saya berbesar hati untuk berkongsi pengalaman bersama Hypermotard pula. Walaupun sibuk dengan lambakan kerja yang berselerakan di atas meja, saya terpaksa meninggalkan hal itu untuk merasai kehebatan jentera negara spageti ini.

Apabila saya melangkah ke Ducati Malaysia, saya terbayang adegan kejar-mengejar Tom Cruise dalam filem Knight and Day bersama Cameron Diaz. Walaupun aksi tersebut menggunakan Hypermotard 1100, saya masih dapat merasakan generasi baharu Hypermotard yang hanya dikuasakan enjin 821cc tidak kurang hebatnya.

Bermula dengan hasil kreativiti Pierre Terblanche, rekaan supermoto Ducati mendapat perhatian di EICMA pada tahun 2005 sebelum mula berada dalam pasaran pada tahun 2007. Pengeluar yang bertapak di Borgo Panigale ini menyedari permintaan kepada segmen motard semakin berkembang. Mereka meneruskan lagi peluasan pengaruh supermoto dengan memperkenalkan Hypermotard 796 pada tahun 2009.

Pengurusan strategik Ducati tidak pernah jemu untuk menghasilkan produk yang terbaik dan menepati kehendak pasaran.

Hasilnya, pada EICMA 2012 telah menyaksikan tiga variasi Hypermotard mewarnai kempen automotif di Milan itu. Ducati begitu megah dengan daya tarikan Hypermotard, Hypermotard SP, dan Hyperstrada. Ketiga-tiga varian tersebut telah menerima pelbagai penambahbaikan daripada segi set jana kuasa Testastretta baharu, kerangka, suspensi, sistem ekzos, sistem sokongan elektronik dan juga daripada aspek ergonomik.

Prestasi impresif

Hypermotard telah menerima unit enjin baharu berkuasa 821cc sejukan cecair. Berbeza dengan generasi sebelumnya yang menggunakan enjin sejukan udara 1078cc bagi Hyper model pertama dan 803cc bagi model 796.

Sebelum menghidupkan enjin Hypermotard, saya terpaksa melangkah tinggi untuk naik ke atas pelana motosikal ini.

Hypermotard merupakan model yang mempunyai kedudukan tempat duduk yang paling tinggi di antara kesemua barisan jentera Ducati. Saya dapat merasakan perbezaan dari segi ketinggian di mana Hyperstrada sedikit lebih rendah berbanding Hypermotard. Cuak juga bila membayangkan keadaan trafik di ibu kota yang sesak. Walaupun ketinggian saya 175 sentimeter, saya masih tergantung di atas pelana. Saya terpaksa mencondongkan sedikit motosikal untuk menjejakkan kaki ke tanah.

Selepas gear enam kelajuan yang disokong klac basah APTC dimasukkan, saya melepaskan tuil klac dan mengenakan sedikit pulasan pendikit Ride-by-Wire (RbW). Keupayaan Hypermotard sedikit berbeza jika dibandingkan dengan Hyperstrada walaupun ia berkongsi enjin dan teknologi yang sama.

Saya dapat merasai perbezaan nyata daripada segi karakter enjin. Hypermotard sedikit liar berbanding Hyperstrada. Walaupun Hypermotard mempunyai jumlah tork yang sama – 89Nm pada 7,750rpm, Ducati telah menetapkan pemetaan enjin yang berbeza bagi penyesuaian karakter di antara dua model ini.

Kedudukan tunggangan Hypermotard lebih santai dan tidak memenatkan. Kedudukan bar hendal, jarak antara pegangan hendal dan tempat duduk serta kedudukan pemijak kaki menjadikan sudut tunggangan ergonomik dapat dicapai.

Pada awal tunggangan, saya memilih mod Urban bagi penyesuaian kuasa 75 kuasa kuda di kawasan dalam bandar.

Pengendalian motosikal ini tidaklah sesukar mana walaupun ia tinggi, malah, ia memberikan keyakinan semasa mencelah dalam kesesakan lalu lintas.

Merentasi lebuh raya, saya mengubah mod tunggangan kepada Sport. Perubahan mod tunggangan cukup mudah dilakukan.

Setelah tetapan mod dilakukan dengan hanya menekan butang pada sebelah kiri bar pemegang, saya hanya perlu melepaskan pendikit dan brek seketika. Ia memerlukan dua saat untuk bertindak balas bagi merasai respons enjin berkuasa penuh – 110 kuasa kuda.

Respons daripada enjin dapat dirasakan dengan serta-merta. Ia lebih mantap daripada segi daya pecutan. Keghairahan mula hadir untuk menguji pecutan akhir jentera ini. Dengan keadaan tunduk rapat ke tangki, walaupun tanpa pengadang angin,
Hypermotard dapat mencapai kelajuan tertinggi pada kelajuan 223 kilometer sejam (km/j). Kerangka baharu Trellis ampuh untuk menyokong kuasa enjin dan sekali gus menjadikan tunggangan lebih stabil dan ergonomik.

Dalam kelajuan tinggi, enjin Testastretta stabil dan gegaran adalah pada tahap yang minimum. Selepas berlibur dengan mod Sport, saya menukar tetapan kepada mod Touring untuk tunggangan yang lebih santai. Walaupun tahap pelepasan kuasa kuda juga pada 110hp, ia tidak seagresif mod Sport. Sedikit perbezaan daripada segi tahap daya pecutan dan tetapan sistem Ducati Traction Control (DTC). Setiap mod tunggangan yang telah diprogramkan akan menukar karakter enjin, tahap ABS dan juga sistem DTC.

Kawalan ergonomik

Puas bermain dengan respons pendikit, saya meneruskan perjalanan ke kawasan yang mempunyai jalan berselekoh. Pada awalnya, saya agak kurang yakin untuk menurunkan badan ketika mengambil selekoh tajam. Mungkin kerana aspek ketinggiannya, saya agak gayat. Namun, setelah beberapa selekoh ditempuhi, ia semakin menyeronokkan. Pautan kepada bar pemegang yang lebar dan respons enjin yang baik di sepanjang selekoh membuatkan saya ketagihan. Alangkah baiknya jika saya dapat menguji Hypermotard di dalam trek.

Versi Hyper yang saya uji ini dilengkapi dengan sistem suspensi Kayaba 43mm terbalik pada fork hadapan dan monoshock Sachs di bahagian belakang. Pasukan pereka Ducati cukup bijak mengeksploitasi kehebatan Multistrada, Diavel dan Panigale untuk menghasilkan jentera motard ini.

Di sepanjang tunggangan, sistem brek jentera ini meyakinkan. Ia dilengkapi dengan dua cakera 320 milimeter berserta angkup Brembo M4-32 Monobloc empat piston di hadapan. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan brek cakera tunggal 245mm dan angkup dua piston.

Sesi tunggangan bersama Hypermotard sangat menyeronokkan. Ia cukup sesuai buat jiwa muda yang gemarkan gaya dan kuasa. Semasa saya menyinggahi stesen minyak, ada seorang pemuda menyapa mesra dari belakang, dan bersungguh sungguh bertanyakan tentang jentera ini. Selepas saya diberitahu harga Hypermotard versi pemasangan tempatan hanya sekitar RM65,000 sehingga RM75,000, saya tidak berasa hairan jika ramai yang akan memiliki Hypermotard kelak. Harga tepat supermoto ini boleh didapati pada acara berprestij MotoGP Malaysia di Sepang 11 hingga 13 Oktober ini. Sudah pasti saya juga akan berada di sana untuk nantikan kemunculan pertama Panigale 899 di Malaysia!  

petikan dari "sinar harian"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...