Meshael Alayban
Meshael Alayban

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita yang dikenal pasti sebagai puteri Arab Saudi telah didakwa kerana mengurung orang gajinya tanpa kerelaan di kondominium di Irvine, California.

Meshael Alayban, 42, berdepan dakwaan jenayah besar yang melibatkan pemerdagangan orang.
Maklumat dari mahkamah telah dikeluarkan mengatakan bahawa Alayban adalah salah seorang dari isteri Putera Arab Saudi, Abdulrahman bin Nasser bin Abdulaziz al Saud.

Alayban hadir di mahkamah Santa Ana semalam dan hakim menetapkan perbicaraan akan berlangsung sehingga 29 Julai.

Dalam kamar mahkamah, Alayban duduk dalam kandang pesalah dan bercakap dengan peguam belanya melalui 'wire webbing'.

Alayban ditahan di Penjara Orange Country dan ikat jamin sebanyak AS$ 5 juta (RM 15.8 juta).

Jika disabitkan bersalah, Alayban berdepan hukuman maksimum iaitu penjara 12 tahun.

Menurut polis, pembantu rumahnya itu merupakan seorang wanita dari Kenya berusia 30 tahun.

Wanita itu berjaya melarikan diri Selasa lalu dan menahan sebuah bas.

Penumpang bas berkenaan yang membantunya menghubungi Jabatan Polis Irvine.

Pegawai penyiasat berkata, mangsa mempunyai kontrak bekerja dengan keluarga Alayban di Arab Saudi bermula Mac tahun lalu.

Mengikut perjanjian, wanita itu dijanjikan gaji sebulan untuk bekerja lapan jam setiap hari dan lima hari bekerja adalah telah ditetap sebanyak AS$ 1,600 (RM 5,000).

Namun, sebaik tiba di Arab Saudi, pasport miliknya telah diambil majikannya.

Dia juga memberitahu hanya dibayar (AS$ 220) RM 670 sebulan dan dipaksa bekerja 16 jam sehari bagi tujuh hari seminggu.

Peguambela Alayban, Paul S. Meyer dalam satu kenyataan berkata, insiden itu pada dasarnya adalah berkaitan isu pertikaian buruh.

Meyer memberitahu mahkamah, ketika perbicaraan "laporan polis mengesahkan tiada penderaan fizikal, sekatan fizikal dan aduannya adalah tentang waktu bekerja serta gaji yang diterima."

Meyer mahu perkara itu disiasat lebih lanjut.

petikan dari "sinar harian"