PADA suatu hari, sekumpulan pemimpin Quraisy datang menemui Nabi Muhammad SAW. Mereka mencabar Rasulullah SAW supaya menunjukkan mukjizat, mereka mahu melihat dengan mata kepala sendiri.
Mereka berkata, “Jika benar kamu seorang Nabi diutuskan ALLAH SWT) belahkan bulan yang sedang mengambang pada malam ini kepada dua bahagian”.
“Adakah jika permintaan ini aku penuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama menyembah ALLAH, Tuhan yang satu?” kata Baginda SAW.
Pembesar itu pun menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang diberikan Rasulullah SAW.
Baginda mengangkat tangan berdoa dan memohon kepada ALLAH supaya membelah bulan untuk dijadikan bukti kekuasaan ALLAH Yang Maha Esa.
Sesungguhnya ALLAH itu Maha Besar, tanpa disangka pembesar Quraisy itu mereka akhirnya dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah kepada dua bahagian, tetapi terpisah jauh antara satu sama lain.
Separuh dilihat berada di sebalik gunung di sebelah kiri dan separuh bulan lagi dapat disaksikan berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.
Walaupun begitu asyik menyaksikan kejadian luar biasa itu, dalam kalangan kafir Quraisy tidak menepati janji, mereka tidak mahu mempercayai apatah lagi untuk menerima dakwah Nabi.
Kafir Quraisy mengagumi melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi SAW.
Mereka percaya kejadian itu benar, tetapi tetap menuduh Baginda SAW seorang ahli sihir yang berkebolehan untuk membelah bulan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan