MENJATUHKAN kerajaan dipilih secara sah sememangnya satu rampasan kuasa – tidak kira kita melihat kejadian ini dari sudut mana sekalipun. Mengamalkan demokrasi bermakna menerima apa jua keputusan tidak kira baik atau buruk.
Penggulingan Presiden Mursi di Mesir dan tindakan ganas ke atas Muslim Brotherhood hanya akan membawa kepada tragedi lebih buruk. Penyokong liberal sekular pasti menyesal dengan tindakan awal mereka untuk menjatuhkan Mursi kerana kini, kebenaran, kepercayaan awam dan undang-undang hancur kerana situasi di Kaherah.
Mereka yang anggap politik Islam perlu dikekang dengan apa cara sekalipun – sama ada mengikut undang-undang atau sebaliknya – salah sama sekali. Apabila kita bersetuju untuk melaksanakan demokrasi melalui peti undi, kita tidak boleh berpaling arah sewenang-wenangnya apabila keputusannya tidak menyebelahi kita.
Jalan pintas politik hanya akan membawa kepada penyelesaian jangka pendek yang tidak mampan, seterusnya membawa kepada kezaliman lebih serius.
Mungkinkah perkara berlaku di Algeria pada 1990 ketika pihak tentera menafikan kemenangan jelas melalui pilihan raya dan memenjarakan serta membunuh beribu-ribu orang, bakal berlaku di Mesir?
Pada masa sama, banyak parti Islam di seluruh dunia – pewaris konsep Ikhwanul-Muslimin di Mesir – akan merasakan bahawa demokrasi sememangnya bukan untuk mereka walaupun mempunyai sokongan besar untuk memenangi pilihan raya.
Malah, parti-parti Islam ini makin yakin bayang-bayang pengaruh Amerika, Eropah, puak liberal, pembiaya kewangan dan kuasa Yahudi global akan terus campur tangan bagi merampas kuasa. Parti Islam melihat diri mereka sebagai mangsa situasi. Walaupun mungkin mendapat simpati pengundi, ini juga membuat pemimpin parti-parti ini berasa mereka tidak perlu perbaiki diri dari aspek rasuah, salah tadbir dan sifat eksklusif.
Sememangnya kerajaan Mursi dilanda pelbagai kegagalan. Ramai meletakkan harapan tinggi pada beliau ketika diundi masuk pada Jun 2012. Beliau dijangkakan mampu untuk menonjolkan imej moderat bagi Mesir setelah berdekad-dekad di bawah pemerintahan autokratik, Presiden Hosni Mubarak.
Malangnya, ini tidak menjadi kenyataan. Mursi gagal dengan teruk: ekonomi Mesir tidak berkembang dan saham di bursa saham jatuh 31.2 peratus untuk lima bulan pertama tahun ini. Defisit bajet negara kini mencecah USD29.2 bilion (RM93.10 bilion) dan statistik rasmi menunjukkan pengangguran berada pada 12.5 peratus.
Pada masa sama, Mursi meminggirkan komuniti sekular dan liberal. Golongan moderat dan Kristian Koptik cukup kecewa hingga mereka memulaukan proses perangkaan perlembagaan pada Disember 2012 – yang dikritik kerana tidak melindungi kebebasan beragama dan hak wanita – diakibatkan kegagalan kerajaan Mursi untuk berunding.
Sementara itu, politik Islam cenderung mengalami kekecewaan termasuk di Asia Tenggara sendiri. Di Indonesia, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) kini dilanda pelbagai krisis apabila beberapa skandal timbul dan merosakkan imej suci dan anti-rasuah mereka.
Malah di Malaysia sendiri, Pas kini perlu merenung dan bermuhasabah diri setelah keputusan yang kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum 2013 – di mana mereka hilang kuasa di Kedah.
Rampasan kuasa di Mesir hanya akan memperkuat lagi prasangka parti-parti ini bahawa mereka perlu berwaspada dengan demokrasi. Kesimpulan ini mungkin ada logiknya tetapi tidaklah sempurna kerana hampir kesemua kegagalan mereka tidak mempunyai kaitan dengan demokrasi. Sebaliknya, ia disebabkan pentadbiran yang lemah, rasuah dan kegagalan untuk memahami pentingnya pendekatan yang inklusif dan seimbang.
Malangnya, dengan jatuhnya Mursi, konspirasi ini akan terus merebak. Rundingan dan kesepakatan merupakan aspek kritikal dalam pentadbiran yang baik.
Seorang lagi ikon politik Islam, Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki (yang kini sedang menangani protes di negaranya) pernah menyangkal pendapat bahawa demokrasi adalah seperti sebuah bas yang akan kita tinggalkan setelah tiba di destinasi.
Mungkin bas yang dimaksudkan Erdogan bakal terbabas dan mencederakan semua penumpang di dalamnya, daripada puak liberal kepada tentera dan golongan Islamis dek kerana tuduhan demi tuduhan terus dilemparkan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan