Bandaraya Gaza: Penyingkiran presiden Islamis, Mohamed Morsi oleh tentera meranapkan impian pemerintah Gaza, pergerakan Hamas yang kini terpaksa membina hubungan dengan pemerintah terbaru Mesir, kata penganalisis.
Hamas yang bergabung dengan Ikhwanul Muslimin yang turut diwakili Morsi kehilangan sekutu berharga mereka berikutan penggulingan presiden Mesir selepas pilihan raya yang membawa beliau berkuasa pada Jun 2012.
“Apa yang berlaku di Mesir adalah satu mimpi ngeri bagi Hamas yang tidak dijangkakan,” kata profesor sains politik, Muhkaimer Abu Saada dari universiti Al Azhar di Gaza.
Rabu lalu, tentera Mesir menggulingkan Morsi selepas setahun memerintah, beberapa hari selepas bantahan menentang beliau di Kaherah dan beberapa bandaraya lain.
Jalin hubungan baik:
“Sejak tahun lalu, Hamas menjalinkan hubungan baik dengan Morsi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir,” kata Saada.
Ketua Hamas, Khaled Meshaal dan perdana menteri Gaza, Ismail Haniya kedua-duanya mengadakan satu siri mesyuarat dengan Morsi sejak tahun lalu, mewujudkan kerjasama rasmi antara kedua-dua kerajaan, katanya.
“Kerajaan baru Mesir tidak mempunyai hubungan baik dengan Hamas dan tidak lagi boleh bergantung kepada sokongannya apabila ia membabitkan Gaza,” katanya.
Hamas jadi sasaran:
Saada berkata, Hamas menjadi sasaran kempen di media Mesir, yang mendakwa ia campur tangan dalam hal ehwal dalaman Mesir sebelum dan selepas kebangkitan 2011 yang menggulingkan Hosni Mubarak.
Pada 23 Jun, sebuah mahkamah Mesir memutuskan Hamas dan pergerakan Hizbullah Lubnan terbabit dengan Ikhwanul Muslimin dalam memudahkan pelepasan tahanan termasuk Morsi, sewaktu kebangkitan anti Mubarak.
Selepas itu Morsi ditahan oleh tentera Mesir selepas ia mengumumkan beliau digulingkan Rabu lalu beberapa hari selepas bantahan jalanan besar-besaran, kata seorang pegawai tentera. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan