Sabtu, 6 Julai 2013

JDT kempunan aksi Piala AFC


JDT kempunan aksi Piala AFC  
Pemain Selangor ceria sebaik menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selepas seri 1-1 dengan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Johor Bahru: Selangor muncul naib juara Liga Super sekali gus layak ke saingan Piala AFC biarpun sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim (DT) pada aksi terakhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Keputusan itu memastikan anak didik Irfan Bakti Abu Salim mengumpul 40 mata dan menyamai kutipan mata barisan kendalian Fandi Ahmad namun kelebihan jaringan memihak Red Giants untuk mengiringi Kelantan yang muncul juara Piala FA ke saingan kelab-kelab Asia buat kali kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, Harimau Selatan tampak lebih garang untuk memburu slot ke Piala AFC apabila lebih awal mengancam kubu Selangor menerusi rembatan deras Jasazrin Jamaluddin seawal minit keempat tetapi tersasar.


Bisa Forkey Doe

Selang empat minit kemudian skuad Gergasi Merah juga hadir menerusi percubaan berbahaya hasil rembatan leret Forkey Doe tetapi gagal merobek gawang tuan rumah.

Selepas berhempas pulas mengasak ke kubu lawan, akhirnya gol yang dicari Johor DT menjelma pada minit ke-21 berpunca sepakan lintang Mohd Farid Ramli yang menyaksikan Leonel Nunez yang menyusup dari belakang pantas merembat leret menewaskan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee.

Bersambung babak kedua, Red Giants tampak rakus mengasak ke kubu tuan rumah dan akhirnya mencipta gol penyamaan pada minit ke-51 selepas Francis Forkey Doe yang mengambil sepakan percuma bijak melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gol sekali gus menewaskan Mohd Al-Hafiz Hamzah yang tergamam di gawang sendiri. 

SUMBER DARI "BERITA HARIAN"



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...