Mesir
dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak
juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina.
Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu
yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama
bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke
seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari
dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru,
kehebatan ini wajib dihancurkan.
Hari
ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular
yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah
ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi
diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam. Sayangnya, apabila tiba
saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa
itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang
sebenar untuk memancung demokrasi.
Di
Mesir, Mursi menang melalui pilihanraya yang bersih. Tanpa penipuan
dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui,
Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel
yang bimbang pengaruhnya terhakis. Namun, kerana sekular menjarah begitu
lama di bumi ambiya’ ini, bukan satu kerja yang senang untuk
membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi,
iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah
berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.
Ini
bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang
lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel
dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil
daripada Allah SWT. Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati
peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan
air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa
besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam. Namun,
al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk
berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang
digambarkan di dalam al-Quran.
Warisan
sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar
rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang
mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi
Ambiya. Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, bila
demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh
politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di
Turki dan Gaza.
Di
Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah
yang sama. Kekalahan di dalam pilihanraya membawa kepada dasar
penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan,
dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke
atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon
sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.
Untuk
Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang
bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh
Allah SWT. Gunakanlah peluang di bulan Ramadhan untuk merayu dan
merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan.
Salam hormat.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 22 Syaaban 1434H bersamaan 1 Julai 2013M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan