DALAM kalendar hijriah terdapat banyaknya hari kebesaran Islam yang bisa membanggakan umat Islam seantero dunia. Maulidur Rasul, Nuzul al-Quran, Hari Raya Puasa, Hari Raya Korban, Awal Muharam termasuklah istimewanya peristiwa Israk wal Mikraj.
Malam menjadi saksi
ALLAH SWT berfirman: “Maha Suci ALLAH, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Israa’: 1)
Israk wal mikraj dianggap sebagai satu peristiwa agung dialami kekasih ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan ALLAH yang tidak ada sebarang hadnya.
Pendakwah Bebas dan juga Mursyid Imam Muda, Ustaz Shahrizan Daud at-Turabi, menjelaskan, Israk dan Mikraj didefinisikan sebagai perjalanan waktu malam Rasulullah SAW diiringi Malaikat Jibril dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjidil Aqsa, Palestin lalu naik melebihi langit ketujuh hingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan ALLAH. Baginda SAW menunggang buraq (sejenis haiwan),
“Perjalanan Rasulullah SAW hanya mengambil masa tidak lebih daripada 12 jam, bayangkan betapa lajunya buraq membawa Rasulullah SAW merentasi angkasa untuk bertemu Maha Pencipta.
“ALLAH mahu menunjukkan kekuasanNya, kenapa peristiwa berkenaan berlaku di waktu malam. Di sebalik kepekatan malam, tersimpannya banyak rahsia alam. Malam lebih menampakkan keagungan ALLAH berbanding waktu siang, walaupun suasana cerah tetapi di siang hari kita hanya melihat bumi kerana disempadankan dengan cahaya matahari,” katanya kepada Rehal.
Menurutnya, tidak ada yang mustahil bagi ALLAH kerana Dia mampu untuk membawa Nabi berjumpaNya di bumi, namun Dia mahu manusia mengkaji dan menyelongkar ciptaanNya di luar bumi yang dipanggil angkasa lepas.
Analogi Rasulullah
Sebenarnya ilmu astronomi banyak diceritakan dalam al-Quran antaranya surah Yaasin ayat 40, surah ar-Ra’d ayat 2, surah Yunus ayat 5 dan 6 dan surah Ali Imran ayat 190 dan 191.
Presiden Kelab Astronomi Amatur Malaysia, Shahrin Ahmad berpendapat, daripada pandangan sains mengatakan Nabi Muhammad SAW diisrakkan ke Masjidil Aqsa, jika zaman dahulu seseorang itu perlu menaiki unta dan ia pastinya mengambil masa lebih kurang sebulan perjalanan, waktu dahulu tidak ada roket atau kapal terbang menyebabkan perbandingan tidak boleh dilakukan.
“Tetapi sekarang sudah ada kemajuan. Apabila kita melihat sudut kelajuan buraq yang dikatakan sejauh mata memandang sepantas kilat. Dalam kes ini Nabi diisrakkan ke Masjidil Aqsa dan dimikrajkan ke langit ketujuh kurang daripada 12 jam, jika dilihat daripada hukum fizik, andai kata kita bergerak selaju cahaya itu pun akan mengambil masa untuk sampai ke langit.
“Contohnya apabila ia bergerak hampir mencapai 300,000 kilometer sesaat, jika nak bayangkan laju cahaya katakan kita naik kereta kancil dan jadikan cahaya sebagai minyak, selepas itu kita terbersin dan kaki terpijak tempat minyak, satu saat kita terpijak kita sudah bergerak tujuh setengah kali mengelilingi bumi,” ulasnya dalam ceramah khas Israk & Mikraj antara Islam dan Sains pada 15 Jun baru-baru ini di Dewan Solat Masjid Tabung Haji Kelana Jaya.
Pengasas portal dan komuniti Falak Online (www.falakonline.net) berkata, apabila memerhati dari sudut skala angkasa lepas, cahaya daripada bulan mengambil masa lebih kurang 1.4 saat. Sekejap bukan. Cahaya daripada matahari yang kita tengok setiap hari, ia bergerak ke angkasa lepas dan sampai ke bumi mengambil masa lapan minit. Belakang matahari ada banyak bintang, dalam banyak bintang ada satu bintang paling hampir dengan matahari dikenali sebagai Alpha Centauri, cahaya dari bintang itu mengambil masa empat tahun, maknanya jika kita menggunakan hukum fizik kelajuan cahaya, untuk sampai ke bintang paling dekat pun mengambil masa empat tahun, apatah lagi untuk ke langit ke tujuh.
Jika Nabi SAW mengumpamakan kelajuan buraq itu seperti kilat, kemungkinan besar ia adalah analogi Nabi SAW bagi memahamkan masyarakat pada zamannya.
Kaji ikut hukum fizik
“Saya tidak mengatakan sains menafikan peristiwa Israk Mikraj, tetapi sains menunjukkan bahawa hukum alam sebenarnya adalah hukum yang terkandung dalam ruang lingkup alam semesta yang kita duduki. Hukum di langit yang lain seperti langit keempat, kelima kita tidak tahu, dan ia mungkin berbeza.
“Apa yang penting, kita yakin dan percaya bahawa Israk Mikraj adalah mukjizat Nabi yang mana kita sebagai umat Islam perlu beriman, tidak perlu fikir logik, anggap ia sebagai anugerah. Berbeza dengan ahli astronomi barat yang mengkaji berdasarkan kepada hukum fizik yang sememangnya ada had,” jelasnya.
Menurutnya, bidang astronomi atau ilmu falak adalah suatu bidang yang kita hanya boleh memerhati dan bukannya boleh disentuh seperti bidang biologi dan bidang-bidang lain.
ALLAH berfirman: “ Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garisnya”. (Surah Yaasin: 40)
Betapa tersusunnya ALLAH mencipta galaksi bukannya berserabut dan ia dipanggil sebagai struktur alam semesta yang paling besar. Dari pandangan jauh, astronomi menjelaskan bahawa masih lagi menjumpai galaksi dan bintang. Persoalannya adakah yang kita lihat ini sudah mencapai hujung langit pertama atau baru separuh?
Jika kita mahu sampai ke penghujung alam semesta setakat pengetahuan manusia hari ini, itu pun mengambil masa hampir 14 bilion tahun, kerana itulah kita perlu beriman dan usah memeningkan kepala untuk berfikir mengenai Israk Mikraj.
Mencerap planet Zuhal
Sementara itu, bagi memupuk minat masyarakat terhadap bidang sains dan teknologi angkasa, sebanyak 15 buah teleskop disediakan kepada orang ramai bagi memberi peluang mencerap planet Zuhal (Saturn). Planet berkenaan adalah planet keenam dari matahari dan planet kedua terbesar serta paling cantik dalam sistem suria kerana mempunyai gegelang. Selain itu pengunjung juga berpeluang mencerap permukaan Bulan yang berada dalam fasa Bulan sabit.
Menyentuh mengenai perkaitan antara Israk Mikraj dan astronomi, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Dr Mustafa Din Subari berkata, ilmu ALLAH itu luas berbanding manusia atau ciptaan lain, antara perkara berkaitan Rasulullah SAW di Israk Mikrajkan sehingga ke langit ke tujuh. Dalam definisi astronomi semasa masih belum dapat mendefinisikan dengan jelas mengenai tujuh lapisan langit.
“Dalam al-Quran ada mengatakan, ALLAH menghiasi langit yang terdekat dengan bintang-bintang. Dalam astronomi moden, kita tahu bintang dan segala cakerawala yang ada bukan terletak pada satu permukaan, sebenarnya ia berada di alam semesta, jika mahu mentafsirkan kita masih belum mampu.
“Tapi apa yang menarik ialah, peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam tempat tidak sampai 12 jam, kalau kita mahu pergi ke planet marikh sekalipun memerlukan tempoh 250 hari,” katanya.
Program berkenaan anjuran Planetarium Negara di bawah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya menganjurkan Program Sidewalk Astronomi Night 2013 pada 15 Jun bertempat di Dataran Putra, Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan